fb fb fb fb fb

Kerajaan Perlis putuskan nasib kafe gua Cenderawasih dalam masa terdekat

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli / Foto RTM

KANGAR, 23 Mei – Kerajaan Negeri Perlis akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada pembinaan dan ubah suai kafe di dalam Gua Cenderawasih akan diteruskan atau dihentikan.

Langkah itu diambil susulan bantahan terhadap projek berkenaan yang didakwa menjejaskan struktur geologi gua tersebut, yang merupakan geotapak utama dalam Geopark Perlis dan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan sejak 2023.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata semua jabatan berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan mengadakan mesyuarat bagi menilai semula keseluruhan projek.

"Pembangunan di Gua Cenderawasih itu insya-Allah kita akan duduk balik sekali semua jabatan — MPK, JMG apa semua. Kita akan tengok balik dan mungkin kita akan pulih balik mana-mana aktiviti yang boleh menjejaskan geotapak. Jadi itu yang telah kita putuskan lah", katanya di sini.

Jelas beliau, langkah pemulihan awal telah dimulakan, termasuk menghentikan kerja pembinaan serta merancang tindakan membaik pulih kawasan yang terjejas, antaranya menanggalkan cat pada dinding gua.

Gua Cenderawasih, yang berusia sekitar 480 juta tahun, menampilkan formasi batu kapur unik dan mempunyai nilai geologi serta sejarah yang tinggi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD