SHAH ALAM, 23 Mei - Sebanyak 68 kilang haram yang telah beroperasi lebih 20 tahun di kawasan Klang, Shah Alam dan Petaling kini dalam perhatian pihak berkuasa dan akan diserbu selewat-lewatnya Julai ini.
Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, berkata tindakan tegas diambil susulan keengganan pemilik kilang untuk mematuhi arahan berpindah dan didapati masih menceroboh tanah milik kerajaan termasuk kawasan rizab jalan.
Menurut beliau, kilang-kilang haram tersebut melibatkan pelbagai sektor industri, antaranya pembuatan cermin rumah, perabot, kimpalan, bengkel, serta stor jentera berat.
"Saya juga ingin memaklumkan bahawa kita telah mengenal pasti tiga lokasi sasaran bagi pelaksanaan tindakan penguatkuasaan, termasuk di Klang, Shah Alam, dan kawasan Petaling."
"Ketika ini, kita sedang dalam fasa persiapan, memandangkan kawasan-kawasan tersebut telah dicerobohi oleh pihak tertentu yang membina kilang secara haram di atas tanah kerajaan, tanpa sebarang dokumen sah seperti geran atau lesen. Keadaan ini telah berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun, dan sebelum ini tiada tindakan tegas diambil."
"Sudah tiba masanya tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bagi memastikan mereka mengosongkan kawasan tersebut dan memulihkan semula tanah berkenaan. Tindakan ini dijangka akan dimulakan selewat-lewatnya pada bulan Julai," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tetap kilang tanpa kebenaran (KTK) Selangor, di Shah Alam.
Dalam pada itu, jumlah Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) di Selangor menunjukkan penurunan kepada 4,170 berbanding lebih 6,000 sebelum ini.
Selain itu, pihaknya telah mengedarkan sebanyak 90 notis di bawah Seksyen 7A Kanun Tanah Negara kepada pemilik dan pengusaha KTK atas kesalahan menyalahgunakan tanah.
Pihaknya juga menyasarkan pengeluaran sebanyak 500 notis pada bulan Julai ini, bertujuan menggesa pemilik dan pengusaha hadir bagi menjalani proses pemutihan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).