KLANG, 23 Mei – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menjalankan satu kajian menyeluruh bagi menilai kesesuaian menaikkan umur persaraan wajib dari 60 tahun kepada 65 tahun, selaras dengan usaha reformasi pasaran buruh negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata kajian itu akan dipimpin oleh Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Dr Mohd Shaharin Umar.
“Kajian ini bukan sekadar perubahan dasar semata-mata, tetapi sebahagian daripada langkah reformasi menyeluruh untuk memastikan undang-undang buruh negara kekal relevan serta selaras dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 bagi Zon Tengah, di sini.
Mengulas lanjut, Steven berkata kementeriannya mengambil pendekatan inklusif dalam kajian tersebut dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor awam, wakil pekerja, dan majikan.
“Jawatankuasa khas ini sedang meneliti secara terperinci kesesuaian pelaksanaan umur persaraan baharu. Kita faham ia mempunyai pro dan kontra, dan perlu melihat semua aspek sebelum membuat sebarang keputusan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Steven memaklumkan penilaian terhadap kesemua 28 undang-undang buruh yang sedang berkuat kuasa juga sedang dijalankan sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan menyeluruh kementerian.
“Ada undang-undang yang tidak lagi relevan dengan zaman. Kita sedang meneliti keperluan untuk memurnikan, mengharmonikan, malah mungkin memansuhkan atau mengemas kini undang-undang tertentu,” katanya.