KUALA LUMPUR, 23 Mei- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menerusi kenyataan bersama MCMC dan MINDEF, ia merupakan simbolik kerjasama strategik dalam usaha memperkasa keupayaan serta kesiapsiagaan sistem pertahanan melalui penyediaan infrastruktur ketenteraan kritikal berteraskan teknologi komunikasi dan keselamatan.
Selain itu, perjanjian tersebut turut melambangkan komitmen berterusan kerajaan dalam mempertingkat aspek keselamatan negara melibatkan pendekatan kolaboratif antara sektor awam dengan pertahanan.
"Menerusi perjanjian ini, MCMC dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bersama-sama melaksanakan inisiatif strategik menyeluruh bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh TUDM.
"Sistem radar baharu ini bakal memperkukuh keupayaan pemantauan dan kawalan ruang udara di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, secara langsung menyumbang kepada pengukuhan keselamatan serta kedaulatan negara," menurut kenyataan tersebut di sini, hari ini.
Katanya, sokongan itu adalah sejajar dengan pendekatan "Whole-of-Government" yang mengutamakan sinergi antara agensi bagi mencapai aspirasi nasional.
Terdahulu, perjanjian tersebut dimeterai Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din bersama Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25).
Pemeteraian itu disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, wakil Panglima Tentera Udara, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha serta barisan pengurusan tertinggi MINDEF dan MCMC.