KLANG, 23 Mei – Malaysia perlu mempercepat usaha memperkukuh struktur ekonomi agar dapat menawarkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi selari dengan peningkatan jumlah graduan setiap tahun, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Beliau menjelaskan, terdapat ketidakseimbangan ketara antara bilangan pekerjaan berkemahiran tinggi yang tersedia di pasaran buruh dengan jumlah graduan yang dihasilkan institusi pengajian tinggi dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Setiap tahun, negara melahirkan sekitar 400,000 graduan,namun hanya sekitar 50,000 peluang pekerjaan yang boleh dikategorikan sebagai pekerjaan berkemahiran tinggi dan mempunyai nilai ekonomi tinggi. Keadaan ini mewujudkan satu jurang struktur yang perlu diberi perhatian segera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Zon Tengah, di sini.
Menurut Steven, ketidakpadanan itu telah menimbulkan situasi yang membimbangkan, di mana ramai graduan terpaksa menyertai sektor pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan akademik mereka.
Justeru, beliau menegaskan peningkatan nilai ekonomi negara merupakan langkah penting untuk menarik pelaburan yang dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan berimpak tinggi.