fb fb fb fb fb

Pembangunan insan penting, bukan sekadar ekonomi dan infrastruktur - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU, 23 Mei- Pembangunan sesebuah negara seutuhnya bukan sekadar membina zon ekonomi atau infrastruktur moden.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, asas utamanya dibina daripada pembangunan insan iaitu pembentukan peribadi insan, nilai kemanusiaan, etika dan rasa tanggungjawab sosial.

"Yang kita nak bangunkan itu manusia. Manusia itu ada elemennya, ada cirinya, nilainya, kemanusiaannya. Apa erti bangunkan gedung tetapi manusia ganas, rakus angkuh,menekan dan tidak ada perasaan kemanusiaan," kata Datuk Seri Anwar ketika berucap dalam Program Madani Rakyat Johor 2025, di sini, hari ini.

Beliau juga menzahirkan harapan agar golongan muda menjauhi sentimen kebencian antara kaum dan agama, yang menurutnya bercanggah dengan asas ajaran mana-mana agama dan sifat manusiawi.

"Apa erti manusia, Apa erti negara dengan mencapai kejayaan yang hebat di Malaysia tetapi kebencian antara satu sama lain tertanam. Kebencian kerana warna kulit, kebencian kerana kaum, kebencian kerana agama.

Agama tidak pernah ajar kebencian. Sebab itu saya nak anak-anak muda ajar golongan tua yang kurang faham erti kemanusiaan. Anak-anak muda beri contoh yang baik, bagaimana negara ini boleh disatukan dengan semangat Malaysia Madani," tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM