LANGKAWI, 23 Mei - Sebuah trak milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa 27 petugas demonstrasi segmen maritim Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) terbabas.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Seramai 25 petugas menerima rawatan awal di bilik perubatan segmen maritim di Resorts World Langkawi, manakala dua lagi dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Menurut kenyataan TLDM, sebuah lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Orang awam diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika trak berkenaan dalam perjalanan pulang membawa petugas yang baru selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ehsan.