KUALA LUMPUR, 23 Mei – Majlis Al Kebangsaan MyMahir untuk Industri (MyMahir-NAICI) secara rasmi dilancarkan hari ini sebagai inisiatif strategik negara untuk memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata penubuhan majlis itu merupakan platform nasional untuk menyelaras pembangunan bakat AI, merangka strategi pelaksanaan dan memacu tindakan bersepadu merentas sektor serta agensi.
“Ia adalah satu struktur penting yang menghubungkan inovasi kepada pelaksanaan sebenar dalam bidang AI,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan MyDIGITAL, di sini.
Majlis tersebut akan diterajui oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), dengan kerjasama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) menerusi MyDIGITAL Corporation di bawah Kementerian Digital.
Gobind turut mengarahkan NAIO agar memastikan data lengkap berkaitan latihan AI dapat dikumpul, termasuk penyedia latihan, jenis latihan, kandungan latihan serta kumpulan sasar.
“Data ini penting supaya latihan sampai kepada kumpulan yang betul. Contohnya, jika latihan melibatkan bidang pertanian, kita mahu pastikan ia sampai kepada petani yang memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, penilaian terhadap keberkesanan latihan juga penting dan kerajaan berhasrat agar peserta menerima pengiktirafan digital seperti "digital badge" selepas tamat latihan sebagai bukti pencapaian.
Majlis MyMahir-NAICI akan beroperasi selama tiga tahun, memfokuskan kepada empat teras strategik utama iaitu Pembangunan Bakat AI, Integrasi Industri, Penjajaran Dasar dan Pembiayaan dan Tadbir Urus Pemegang Taruh.
Sementara itu, pada sidang media yang sama, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan KESUMA menyediakan sebanyak 300,000 peluang latihan berkemahiran tinggi, termasuk latihan berkaitan teknologi AI dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
“Latihan yang disediakan merangkumi jangka pendek, jangka panjang, pensijilan SKM, pensijilan mikro dan pelbagai lagi. Ia terbuka kepada semua yang berminat untuk meningkatkan kemahiran,” katanya.