JOHOR BAHRU, 23 Mei- Bekalan air mula pulih secara berperingkat di beberapa kawasan di Johor Bahru.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ, Khairul Effendy Tusam, bagaimanapun terdapat beberapa kawasan yang masih berdepan gangguan bekalan.
Ini disebabkan faktor jarak lokasi yang jauh dari loji serta jajaran sistem paip yang kompleks, sekali gus menyukarkan pemulihan tekanan air secara menyeluruh.
"Bekalan air alternatif ke kawasan-kawasan kritikal masih diteruskan. Malah, kita turut mengedarkan lebih 12,000 karton air mineral ke kawasan tumpuan seperti rumah-rumah ibadat dan pangsapuri sejak semalam," kata Khairul Effendy dalam kenyataan, hari ini.
Setakat pukul 4.00 petang, sebanyak 34,000 akaun masih terjejas, dengan peratusan pemulihan bekalan pada tahap 78 peratus.
Ranhill SAJ turut mengaktifkan pelan kontingensi dengan menyalurkan bantuan bekalan air menerusi penghantaran 42 buah lori tangki air ke kawasan yang terjejas bagi menampung keperluan pengguna.
Sebanyak 61 tangki statik dan mudah alih turut diletakkan di lokasi strategik bagi kemudahan pengguna mendapatkan bekalan air.
Selasa lalu, pihak operator air Johor memaklumkan bahawa berlaku kebocoran paip air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.
Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan sejumlah kawasan, melibatkan lebih 150,000 akaun pengguna di sebahagian kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri.