fb fb fb fb fb

Sasterawan terus berkarya era digital, tarik minat generasi muda

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari ditemu bual selepas Majlis Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) Ke-2 2025/RTM

BUTTERWORTH, 10 November - Kerajaan negeri Pulau Pinang terus komited memartabatkan Bahasa Melayu dan menghargai sasterawan tempatan menerusi penganjuran Majlis Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) Ke-2 2025 yang berlangsung semalam.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari berkata, anugerah dwitahunan ini membuktikan kepercayaan kerajaan terhadap kekuatan sastera sebagai wahana ilmu serta lambang perpaduan rakyat.

"Pengiktirafan ini tanda keprihatinan kerajaan negeri dan juga kerajaan kepada usaha para penulis untuk melahirkan karya terbaik yang dapat menjadi pedoman dan dapat menjadi pemikiran untuk membina bangsa Malaysia," kata beliau selepas majlis tersebut.

Beliau turut menggesa sasterawan untuk terus berkarya bagi mendepani cabaran era digital dalam menarik minat generasi muda terhadap kesusasteraan. 

Sementara itu, pesara guru, Zurhan Bakar diumumkan sebagai Sasterawan Negeri Pulau Pinang pada majlis tersebut.

Zurhan yang ditemui terharu dengan pengiktirafan tersebut dan sempat berkongsi pengalaman serta pesanan buat penulis generasi muda.

"Malam ini adalah malam yang bersejarah untuk saya setelah 42 tahun berkecimpung dalam penulisan kreatif dalam genre puisi, cerpen dan novel yang telah menghasilkan beberapa belas buah buku. Daripada novel kanak-kanak hinggalah ke cerpen-cerpen dewasa. Saya juga pernah menulis skrip drama dan telah memasuki beberapa pertandingan," kata Zurhan di sini.

Penganugerahan itu melayakkan Zurhan, 64, menerima wang tunai RM15,000 berserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Manakala Muhammad Afif Zulhusni Azhar menerima Anugerah Penulis Harapan Negeri Pulau Pinang dengan menerima wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

"Saya harapkan penulis muda teruskan menulis jangan putus asa, biarlah orang nak kata apa, menulis sehingga dapat mencapai mesej yang hendak disampaikan. Penulisan ini adalah satu perjalanan hidup kita, ia membuka jalan hidup untuk terus berkarya dan secara tak langsung dia membuka imaginasi dan karya kreatif," kata Muhammad Afif ketika ditemu bual selepas majlis penganugerahan itu. 

SITI AISHA MELISA YUHANIZ