fb fb fb fb fb

Tiada pas dan permit sah, 16 warga asing ditahan JIM Johor

Foto FB JIM Johor

JOHOR BAHRU, 27 Februari- 16 individu warga asing termasuk seorang wanita ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor atas kesalahan tidak memiliki pas dan permit yang sah untuk berada dalam negara selain tinggal lebih masa.

Serbuan dijalankan di sebuah restoran nasi arab popular di Taman Tasek, Johor Bahru sekitar pukul 4.40 petang pada Isnin.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata serbuan dilaksana atas maklumat orang awam berhubung sejumlah pekerja warga asing di premis tersebut.

Warga asing yang ditahan membabitkan tujuh lelaki warga Syria, tiga lelaki warga Yaman, seorang lelaki warga Mesir, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang wanita warga Filipina serta tiga lelaki warga Palestin.

Kesemua mereka berumur 21 hingga 55 tahun.

Dua notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada individu terlibat bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM