TANJUNG MALIM, 27 Februari- Duta Romania ke Malaysia dan Brunei, H.E Nineta Barbulescu yang mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini melahirkan rasa kagum dan teruja terhadap seni dan budaya Malaysia .
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata Nineta turut menzahirkan rasa teruja beliau terhadap seni halus tradisional Malaysia.
Katanya, lukisan adalah satu aspek yang boleh dikembangkan sebagai salah satu instrumen perkongsian silang budaya dalam bidang seni halus antara Malaysia dan Romania.
"Nineta menjemput UPSI menyertai konsortium-konsortium yang ditubuhkan kerajaan Romania berkaitan meta-data, sains, matematik dan lain-lain bidang. Duta Romania turut menjemput UPSI untuk mewujudkan satu ruang aktiviti kerjasama perkongsian silang budaya yang memfokuskan kebudayaan, fesyen, kesenian, makanan tradisional antara Malaysia dan Romania," katanya menerusi kenyataan.
Ketika pertemuan berkenaan, Md Amin juga berkongsi sejarah penubuhan UPSI serta portfolio menyeluruh berkaitan perkembangan UPSI yang terkini.
"UPSI terkenal sebagai institusi yang melahirkan guru untuk memajukan pendidikan rakyat di negara ini. UPSI mempunyai kursus berkaitan seni visual untuk melahirkan guru-guru seni yang kreatif mengajar di sekolah-sekolah seluruh negara. Lokasi UPSI sangat cantik dan berupaya menarik pengunjung kerana terletak di sisi Banjaran Titiwangsa," kata Md Amin.
Pada lawatan berkenaan, Nineta berkesempatan merasai pengalaman mengelilingi kampus UPSI dengan menaiki 'Sightseeing Buggy Tourism', produk baharu yang diperkenalkan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK).
Delegasi Kedutaan Romania juga dibawa melawat Perpustakaan Tuanku Bainun, Galeri Seni dan Muzium Pendidikan yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Strategik, Prof Madya Dr Azmi Mohamad; Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus; Pengarah Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC), Prof Dr Khoo Yin Yin serta Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM) Prof Dr Tajul Shuhaizam Said.