fb fb fb fb fb

JPKKP Perlis, 774 individu terima watikah pelantikan

Foto RTM

BESERI, 27 Februari- Seramai 387 orang pengerusi dan 387 orang setiausaha menerima watikah pelantikan sebagai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) negeri Perlis.

Lantikan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2025, menjadikan Perlis sebagai negeri pertama yang berjaya menganjurkan majlis penyerahan watikah berkenaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman memaklumkan pelantikan JPKKP pada kali ini adalah gabungan daripada kepimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat kampung masing-masing.

Kesemua yang dilantik diharap dapat membuat perancangan dan pelaksanaan program di peringkat komuniti serta menjadi perantara di peringkat akar umbi dengan kerajaan Persekutuan.

"Kalau ikut kriteria pelantikan pengerusi dan setiausaha JPKKP, pelantikan ini dalam tempoh setiap dua tahun. Namun, saya sudah dapat persetujuan daripada rakan-rakan saya dan juga daripada ICU dan pihak KEMAS, kita di negeri Perlis kita bagi petunjuk prestasi utama (KPI) setiap tahun."

"Kalau pengerusi tidak dapat memainkan peranan mereka dalam membantu rakyat di kampung serta menjalankan tanggungjawab bidang kuasa dan kebajikan mereka, maka kita tidak teragak-agak untuk menukar pengerusi tersebut," kata Rozabil kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKKP Negeri Perlis di Institut Kemahiran MARA, Beseri.

Seramai 343 orang pengerusi dan 339 orang setiausaha menerima watikah pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Perlis bagi fasa pertama manakala baki 44 orang pengerusi dan 48 orang setiausaha akan dilantik pada fasa kedua.

Sebanyak RM2.460 juta diperuntukkan tahun ini bagi menggerakkan JPKKP.

Peruntukan itu termasuk bayaran elaun pengerusi dan setiausaha, elaun pengendalian mesyuarat dan elaun kehadiran mesyuarat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM