fb fb fb fb fb

Peletakan jawatan pegawai kanan LTAT, tidak jejas operasi dan perkhidmatan - Khaled

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 27 Februari- Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa peletakan jawatan tiga pegawai kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), tidak memberi impak terhadap operasi serta perkhidmatan entiti tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan ketika ini pihaknya sedang memuktamadkan calon-calon yang layak dan berkredibiliti untuk mengisi kekosongan jawatan di LTAT. 

"Kementerian Pertahanan komited untuk terus memantau dan memastikan operasi dan strategi menjadikan LTAT sebagai sebuah dana persaraan mampan sewajarnya fokus kementerian dan LTAT untuk memastikan nilai wang simpanan ATM terus dilindungi dan berkembang," kata Khaled di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor di Dewan Rakyat, pagi tadi. 

Kekosongan jawatan Ketua Eksekutif LTAT kini digalas oleh Mohd Asyraf Mohd Razi, Ketua Pegawai Kewangan, berkuat kuasa serta merta.

Jawatan pengerusi pula dipangku oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak yang juga merupakan Timbalan Pengerusi LTAT. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM