KUALA LUMPUR, 20 Disember – Kerajaan menegaskan bahawa tiada larangan terhadap hotel dan premis makanan bersijil halal untuk menggunakan dekorasi perayaan agama selain Islam, selagi ia mematuhi garis panduan halal yang ditetapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penggunaan imej, ilustrasi atau hiasan berkaitan perayaan tersebut adalah dibenarkan dengan syarat ia mematuhi prinsip halalan thoyyiban serta tidak melibatkan sebarang unsur atau peralatan sembahan.
Menurut beliau, sebarang dekorasi yang digunakan juga tidak boleh memaparkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau logo halal, dan hanya dibenarkan bagi hiasan yang bersifat tidak kekal.
Dalam satu kenyataan, beliau turut menggesa pihak industri agar terus mematuhi piawaian halal sedia ada tanpa mengetepikan nilai hormat-menghormati serta keharmonian kaum dan agama dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Beliau juga menasihatkan hotel dan premis makanan bersijil halal supaya sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa pensijilan halal bagi mendapatkan penjelasan dan panduan yang tepat dari semasa ke semasa.
Langkah itu selaras dengan komitmen Kerajaan Madani dalam memelihara kesucian pensijilan halal di samping memastikan keharmonian antara agama terus terpelihara.