fb fb fb fb fb

Banjir surut, lumpur pula menanti penduduk

Foto RTM

GUA MUSANG, 20 Disember - Penduduk terjejas banjir di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir di sini bertungkus-lumus membersihkan lumpur di rumah masing-masing selepas banjir surut.

Sejurus paras Sungai Lebir menurun, penduduk segera menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi mengelakkan lumpur daripada mengering dan menyukarkan proses mencuci.

Seorang mangsa, Nor Anita Mat Jusoh berkata kebanyakan rumah di kawasan itu ditenggelami air sehingga hampir dua meter ketika banjir melanda kelmarin.

“Kami simpan barang ala kadar dahulu, yang penting untuk memasak dan makan kerana musim hujan masih berterusan. Tilam sahaja diambil untuk tidur, barang lain belum sempat diangkat kerana air naik terlalu cepat,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Noor Azman Mat Jusoh berkata, walaupun lumpur kali ini tidak setebal banjir sebelum ini, proses pembersihan tetap memakan masa.

“Kalau ikut pengalaman, ambil masa kira-kira empat hingga lima hari untuk mencuci semua barang. Kalau hujan turun semula, kita hadapi sahaja,” katanya.

Sementara itu, Nor Hasima Mat Jusoh berkata banjir kali ini adalah yang terburuk sejak beliau menetap di kawasan tersebut pada 2019.

“Dalam tempoh itu sudah tiga kali banjir, tetapi kali ini paling tinggi. Banyak barang dapur seperti pinggan dan tikar terpaksa ditinggalkan,” katanya.

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir di RKT Kesedar Lebir yang menempatkan 148 penduduk daripada 35 keluarga ditutup sepenuhnya semalam.

Mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas paras air Sungai Lebir surut.

AZRUL FAIZAL JUSOH