KUALA LUMPUR, 20 Disember - Selaras dengan keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol sedia ada bagi tahun hadapan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan terus komitmen untuk memastikan kepentingan pengguna terus terpelihara melalui penyediaan perkhidmatan lebuh raya yang selamat, lancar dan berkualiti.
Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun berkata syarikat konsesi akan dipastikan melaksanakan operasi dan penyenggaraan lebuh raya mengikut standard yang ditetapkan, selain menaik taraf kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah (lay-by) supaya lebih kondusif dan lengkap dengan kemudahan terkini.
Antara penambahbaikan yang diberi tumpuan termasuk penyediaan pengecas kenderaan elektrik (EV) dan akses internet (WiFi) percuma di beberapa lokasi terpilih.
“LLM menyambut baik pengumuman Menteri Kerja Raya mengenai keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol sedia ada bagi 10 lebuh raya pada tahun 2026, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melindungi kebajikan rakyat.
“Di samping itu, penekanan terhadap pengurusan aliran trafik bagi mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa perjalanan akan terus diperkasakan bagi memastikan lebuh raya kekal relevan serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan akan mengekalkan kadar tol sedia ada pada tahun hadapan melibatkan 10 lebuh raya utama di seluruh negara sebagai langkah melindungi kebajikan rakyat.
Datuk Sazali berkata keputusan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mendahulukan kepentingan pengguna lebuh raya.
“LLM akan terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap pematuhan obligasi syarikat konsesi, khususnya dalam aspek operasi dan penyenggaraan lebuh raya selaras dengan peruntukan perjanjian konsesi bagi memastikan kebajikan serta kepentingan pengguna berada pada tahap optimum,” katanya.