fb fb fb fb fb

Akta Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa Januari 2026, lindungi kanak-kanak dan remaja

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts. Dr. Norkhushaini Awang/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Disember – Akta Keselamatan Dalam Talian yang diwartakan pada 22 Mei lalu dijangka berkuat kuasa pada Januari 2026 bagi memperkukuh perlindungan pengguna di alam siber, khususnya melibatkan kanak-kanak dan remaja.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts. Dr. Norkhushaini Awang berkata, penggunaan telefon pintar kini menjadi satu keperluan dalam kalangan kanak-kanak, namun masih wujud jurang ketara dari segi tingkah laku dan tahap kematangan dalam penggunaan teknologi digital.

Menurut beliau, meskipun kanak-kanak mempunyai kemahiran digital yang baik, mereka belum cukup matang untuk memahami risiko serta implikasi yang wujud di dunia siber.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan penambahbaikan kurikulum dengan memasukkan elemen keselamatan siber, etika digital dan tingkah laku dalam talian.

Katanya, silibus sedia ada seperti Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Asas Sains Komputer lebih menumpukan kepada aspek teknikal, termasuk penggunaan teknologi dan asas pengaturcaraan.

“Dari sudut tingkah laku dan perspektif penggunaan teknologi di alam siber, kanak-kanak masih belum matang. Justeru, KPM perlu mempertimbangkan untuk memasukkan topik-topik berkaitan etika dan keselamatan digital dalam silibus atau kurikulum sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Ts. Dr. Norkhushaini berkata, dalam tempoh terdekat, akta berkenaan mungkin tidak memberi kesan besar kepada pembangun sistem dan penyedia perkhidmatan internet, namun ia penting dalam meningkatkan kesedaran pengguna terhadap konfigurasi dan tetapan keselamatan aplikasi.

Beliau berharap pelaksanaan akta baharu ini dapat mendorong semua pihak, termasuk pengguna dan pembangun sistem, agar lebih berhati-hati serta bertanggungjawab dalam pembangunan dan penggunaan teknologi digital.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI