fb fb fb fb fb

Tiada laporan terpengaruh ajaran sesat Hadi Minallah - JAINJ

JOHOR BAHRU, 16 Ogos- Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menerima sebarang laporan berhubung mana-mana umat Islam dalam negeri, yang terpengaruh dengan ajaran sesat Hadi Minallah, setakat ini.

Ia susulan JAINJ mengesan cubaan menyebarkan ajaran tersebut kepada orang ramai, di Kota Tinggi, semalam.

Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki Datuk A. Shamsudin berkata isu tersebut terkawal dan pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan bersama pihak berkuasa.

Ini bagi membendung penyebaran ajaran sesat terbabit, yang dikhuatiri boleh memecah-belahkan umat Islam negeri.

"Kita memang sentiasa membuat pemantauan, pihak berkuasa dan juga pihak keselamatan.

"Kita di Johor ini sebenarnya tidak berpecah dalam soal akidah dan sebagainya, jadi mana-mana ajaran yang tidak selari dengan apa yang difatwakan mufti negeri Johor," katanya.

(Datuk Md Rofiki Datuk A. Shamsudin)

Beliau menyatakan demikian selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Bagi Gunasama Bangunan Sekolah Agama Kampung Aman, di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), di sini.

Gunasama itu melibatkan lapan sekolah agama dalam negeri, bertujuan menempatkan pusat bahasa Arab sementara di MARSAH tersebut, sebelum membina pusat lebih teratur dan lengkap.

Ia juga merupakan salah satu daripada dua pusat bahasa Arab di Asia Tenggara, yang diiktiraf Universiti Al Azhar, Mesir, selain Indonesia.

Media Baharu