fb fb fb fb fb

Hanya dua aduan diterima, nafi ratusan motosikal RXZ dicuri- Polis

KUALA NERUS, 16 Ogos- Polis Terengganu menafikan dakwaan terdapat lebih 230 motorsikal hilang dicuri sempena program 'RXZ Members 4.0' di Kuala Nerus, baru baru ini.

Sebaliknya, hanya dua aduan diterima setakat ini melibatkan kes kecurian dan satu membabitkan kemalangan maut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, jumlah yang ditularkan itu tidak tepat.

(Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa)

"Tidak adalah yang kata banyak, ada dua aduan dan satu kemalangan maut berkait dengan rombongan, selain daripada itu, alhamdulillah, akan datang kita ingatkan mereka persatuan seperti ini lebih awal maklumkan pada kita supaya koordinasi tersusun teratur, cuma ini serta merta", katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen negeri di Kuala Nerus.

Seramai 408 daripada 668 anggota hadir menerima anugerah tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan program seumpama perhimpunan 'RXZ Members 4.0' pada masa akan datang dan bersedia membantu keperluan untuk menjayakannya.

Katanya, setiap penganjuran sudah pasti memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat negeri itu.

Media Baharu