fb fb fb fb fb

Tiada laporan serpihan roket China di Sarawak

KUCHING, 31 Julai- Tiada serpihan roket Long March 5B milik China, dilaporkan jatuh di Sarawak.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sarawak, Datu Khiruddin Drahman, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkenaan serpihan terbabit di seluruh negeri.

Datu Khiruddin yang dihubungi pemberita RTM mengesahkan perkara terbabit di Kuching.

Dalam pada itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum itu telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi bahawa serpihan roket itu terjatuh di sekitar Laut Sulu berhampiran Sabah, hari ini.

Namun begitu, kenyataan rasmi terbabit tidak pula menyatakan sebarang lokasi hempasan di Sarawak, walaupun visual kemasukan semula serpihan roket itu boleh disaksikan jelas di ruang udara negeri ini kira-kira pukul 12.50 minit tengah malam tadi.

Visual serpihan itu tular di media sosial sejak malam tadi, memaparkan lebih dari tiga serpihan bercahaya memasuki ruang udara Sarawak.

Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada laporan penemuan serpihan daripada agensi keselamatan negara.


(Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sarawak, Datu Khiruddin Drahman)

Media Baharu