fb fb fb fb fb

Tiada laporan jenayah diterima sejak banjir melanda - Polis Johor

Foto Fail

KOTA TINGGI, 4 Mac- Polis Daerah Kota Tinggi tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian jenayah khususnya kehilangan harta benda dan pecah masuk premis dan kediaman sejak banjir melanda daerah itu, Selasa lalu.

Keselamatan dan rondaan turut ditingkatkan di semua kawasan dan kampung-kampung di sekitar Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah, Supritenden Hussin Zamora berkata 20 pegawai dan 169 kakitangannya digerakkan bagi memantau semua kawasan yang terjejas banjir.

"Agensi penguat kuasa seperti JBPM dan ATM membantu pihak kami melakukan kawalan di kawasan yang dinaiki air, tidak kira siang atau malam.

Langkah itu bagi memastikan tidak ada individu yang berkeperluan untuk hadir ke kawasan terkepung air banjir," kata Hussin kepada pemberita RTM selepas mengadakan pemantauan banjir di Kota Tinggi.

Sementara itu, Balai Polis Panchor di Muar, ditutup sementara waktu selepas turut dinaiki air banjir.


(Balai Polis Panchor dinaiki air banjir, sebarang urusan melibatkan laporan polis
boleh dibuat dimana-mana balai polis berhampiran yang lain)

Justeru, sebarang urusan melibatkan laporan polis boleh dibuat dimana-mana balai polis berhampiran yang lain.

Ketua Polis Daerah, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata rondaan berkala diteruskan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan harta benda.

Orang ramai turut dinasihat supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak mengambil risiko melalui jalan dinaiki air.

Tujuh jalan di Muar juga ditutup susulan banjir.

Media Baharu