fb fb fb fb fb

Bantuan bank makanan digerakkan serta merta ke negeri terlibat banjir - KPDN

KUANTAN, 4 Mac- Bantuan bank makanan ke negeri terbabit banjir terutama di kawasan terputus hubungan telah digerakkan serta-merta sejak berlaku banjir.

Inisiatif daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu bagi membantu mereka yang terjejas akibat banjir daripada terputus bekalan makanan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata KPDN Pahang dan Johor aktif membantu penduduk terjejas dengan menghantar makanan sedia dimakan seperti biskut, roti, mi segera dan air mineral ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Tujuan bank makanan ini adalah kita nak pastikan tiada yang terputus bekalan makanan. Kita juga menggerakkan bantuan ini ke kawasan yang terpisah hubungan dari lokasi utama bantuan. Bank makanan ini adalah percuma," kata Fuziah kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Inisiatif Payung Rahmah di TMG Mall di Kuantan, Pahang yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang.


(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh)

Katanya, barangan bank makanan diperoleh hasil sumbangan rakan strategik kementerian yang sentiasa sedia bekerjasama untuk membantu golongan memerlukan.

Seramai 100 asnaf sekitar daerah Kuantan menerima Bakul Rahmah yang bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup, pada majlis itu.

Inisiatif Payung Rahmah yang dilaksanakan turut merangkumi Program Jualan Rahmah, Pakej Rahmah dan Menu Rahmah.

Restoran makanan segera Chicago Chicken City turut mengambil bahagian melaksanakan inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan hidangan nasi bersama seketul ayam dan minuman Milo pada harga RM5 di semua 11 cawangannya di seluruh negara.

 

Media Baharu