fb fb fb fb fb

Tiada lagi sistem temujanji untuk permohonan pasport

PUTRAJAYA, 29 April - Jabatan Imigresen memansuhkan Sistem Temujanji Online (STO) JIM di beberapa pejabat pengeluar pasport di seluruh negara mulai bulan depan bagi mengatasi kesulitan berhubung permohonan dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata STO bagi semua pejabat pengeluar pasport di luar Lembah Klang mulai 9 Mei manakala di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka mulai 16 Mei.

"Pemohon yang telah menerima tarikh temu janji melalui STO mulai 16 Mei, tidak perlu lagi mematuhi tarikh yang diberikan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, semua pejabat pengeluar pasport di enam lokasi juga akan dilanjutkan operasi pejabat pada hujung minggu bermula pada 14 Mei depan.

Antaranya ialah Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka yang akan beroperasi pada hari Sabtu mulai jam 8:00 pagi hingga 1.00 petang.

Manakala bermula 16 Mei ini, waktu pengoperasian kaunter UTC di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru akan dipanjangkan sehingga 10:00 malam.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya memahami kesulitan yang dihadapi rakyat Malaysia bagi memohon dan memperbaharui PMA.

"Ini berpunca daripada peningkatan yang mendadak bagi permintaan PMA berikutan pembukaan sempadan negara mulai 1 April lalu," katanya.

(FOTO fail)

Katanya, sejak 1 April sehingga 26 April, imigresen telah mengeluarkan sebanyak 151,173 PMA di seluruh negara.

Secara purata, permohonan pasport harian bagi seluruh negara telah mencecah sebanyak 8,000 sama dengan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding sebelum pembukaan sempadan.

Beliau berkata Jabatan Imigresen juga menyediakan perkhidmatan permohonan PMA tanpa perlu melalui STO seperti di Putrajaya di bawah kategori baharu, warga emas, Orang Kurang Upaya, pelajar, kanak-kanak dan pemohon yang akan menunaikan haji yang mana boleh terus hadir ke kaunter.



Media Baharu