GEORGE TOWN, 29 April - Tahanan lelaki yang melarikan diri daripada Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru, pada tengah malam Selasa lepas, berjaya ditahan semula pada jam 6 petang, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tahanan yang dikenali sebagai Azizi Mohammad Hassan, berusia 33 tahun itu ditahan di sebuah chalet di Batu Kurau, Perak.
Dia direman empat hari untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.
(Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain)
"Seluruh badan lelaki itu bengkak akibat alahan kulit yang teruk dan kami terus membawanya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak", katanya pada sidang media di sini hari ini.
Untuk rekod, lelaki terbabit yang ditahan di Jelutong atas kesalahan dadah pada 20 April lepas disedari telah meloloskan diri dari lokap tersebut dan berikutan itu polis melancarkan operasi mengesannya.
Susulan daripada itu, enam anggota polis berpangkat lans koperal dan koperal yang sedang bertugas di lokap berkenaan ketika kejadian ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, siasatan mendapati wujud elemen kecuaian dalam kejadian lolos tersebut dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu.
"Kita lihat dua perkara adakah kecuaian itu berlaku atau ada elemen jenayah yang berlaku di situ. Elemen kecuaian sememangnya kita boleh katakan wujud.
"Justeru itu, kertas siatan apabila lengkap, kita akan mengesyorkan apa tindakan yang sesuai kepada pihak Pendakwaraya", katanya.