BUKIT KAYU HITAM, 29 April- Penugasan dan kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand tiada kelonggaran dan tetap diteruskan meskipun sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata kekuatan pasukan sama dengan kira-kira 387 pegawai dan keanggotaan PGA bertugas di sepanjang sempadan Bukit Kayu Hitam Kedah sehingga ke Perlis.
Tidak menafikan kemungkinan ada cubaan berlakunya menyeludup masuk berikutan desakan hidup akibat pandemik COVID-19, dalam tempoh perayaan kawalan tetap diperketatkan.
"Kita akan terus bertugas meski hari raya, dengan kekuatan sama. Kita bertugas mengikut syif, ada pusingan ganti maka yang syif pagi itu boleh tunai solat hari raya. Tapi, yang bertugas tetap bertugas, kita akan bertugas 24 jam demi keselamatan sempadan negara," kata Wan Hassan kepada media selepas melawat Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam sehingga ke 3 pos kawalan di sempadan tersebut.
(Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad ditemui media ketika dalam kunjungan Markas Taktikal
PGA Bukit Kayu Hitam sehingga ke 3 pos kawalan lain di sempadan)
Dalam kunjungan itu beliau menyampaikan sumbangan hari raya berupa kuih muih kepada anggota bertugas dari Batalion 2 PGA Kulim, Kedah.
Batalion tersebut akan digantikan pasukan dari Batalion 18 Pengkalan Hulu Senoi Praaq pada 5 Mei ini sebagai pertukaran giliran tugasan.