PUTRAJAYA, 29 April- Pengeluaran kad pengesahan dan identifikasi status pemohon suaka di negara ini seharusnya dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dan bukan pihak lain.
Jelas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ini kerana hanya ada satu badan di negara ini yang boleh mendaftarkan seseorang tinggal dengan sah iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Pendaftaran kewarganegaraan di negara kita ini hanya dikelolakan oleh satu badan sahaja iaitu kendalian Datuk Ruslin, Jabatan Pendaftaran Negara. JPN adalah pendaftar yang sah untuk mendaftarkan mana-mana individu yang tinggal dalam negara kita.
"Kita sedang mencari jalan untuk hanya menerima pengesahan kad yang dikeluarkan oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, bukan oleh mana-mana pihak yang mengaku bahawa hari ini kad yang sah oleh UNHCR," kata Hamzah dalam sidang media Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan, di sini.
(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin)
Terdahulu, Hamzah dilaporkan berkata kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR.
Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.