fb fb fb fb fb

Tiada lagi penangguhan, Hospital Petra Jaya akan mula beroperasi suku ketiga 2025

FOTO JAPEN SARAWAK

KUCHING, 16 November- Hospital Petra Jaya Kuching dijangka akan beroperasi pada suku ketiga 2025.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan setakat ini projek hospital itu menunjukkan perkembangan yang baik iaitu status kerja sudah mencapai lebih daripada 80 peratus.

Beliau berkata kementerian tidak akan membenarkan sebarang penangguhan tempoh siap projek dan berharap kontraktor dapat mengekalkan tempoh masa sasaran projek siap.

Beliau kesal berikutan sebelum ini projek itu memakan tempoh masa pembinaan yang lama akibat kegagalan kontraktor asal menyiapkannya sejak dimulakan pada 2013.

"Kita tidak akan benarkan lagi kontraktor menangguhkan kerja-kerja menyiapkan projek ini. Kita perlu pastikan suku ketiga tahun depan, hospital ini akan mula beroperasi," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program MADANI Afiat Peringkat Wilayah Sarawak dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat 2024 di Dataran Perayaan, Petra Jaya, Kompleks Stadium Negeri, Kuching hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyeru semua pihak sama ada kerajaan persekutuan dan negeri untuk berganding bahu memberi kesedaran kepada masyarakat hingga ke peringkat komuniti kampung dalam usaha melakukan saringan awal kesihatan.

Ini bagi mencegah peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit NCD agar tidak menjadi masalah umum negara.

Pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan, pameran 43 agensi rakan strategik, Jualan Rahmah, pameran dan aktiviti berbentuk interaktif melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan dan agensi Kerajaan Sarawak.

Program tersebut sejajar dengan pendekatan seluruh negara yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mempromosi kesihatan dan kesejahteraan kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan, kementeriannya masih menunggu keputusan siasatan berhubung kes aduan jururawat mengenai kualiti kain kurang baik yang dibekalkan sebuah syarikat untuk pakai seragam jururawat bernilai lebih RM98.3 juta.

Jelasnya, setakat ini kedua-dua Jabatan Kimia dan SIRIM sedang melakukan ujian dan siasatan terhadap dakwaan itu.

Beliau yakin dalam masa terdekat pihaknya akan menerima dapatan hasil ujian dan siasasatan itu serta mengambil langkah seterusnya bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Pada 23 Oktober lalu, Kesatuan Jururawat Malaya MNU mengakui menerima maklum balas mengenai kain yang dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat sedikit keras serta tidak selesa dipakai ketika bekerja.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE