fb fb fb fb fb

Kebanyakan kontraktor laksana projek sekolah di Sarawak pamer prestasi baik

FOTO RTM

LUNDU, 16 November- Kementerian Kerja Raya berpuas hati dengan kontraktor-kontraktor yang dilantik melaksanakan projek sekolah di Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kontraktor tersebut telah mempamerkan prestasi yang baik.

Jelasnya, ia terbukti dengan kadar tempoh penyiapan selain perbelanjaan projek tidak melebihi kos yang diperuntukan.

Pun begitu masih terdapat segelintir pemaju yang tidak mencapai kualiti yang ditetapkan.

"Saya boleh kata beginilah puratanya ramai yang berprestasi tinggi namun saya akui ada yang bermasalah kurang mampu dalam kewangan sebab itu proses pemilihan untuk melaksanakan projek ini ketat," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Bangunan Tambahan SMK Lundu dan SMK Padawan di Lundu hari ini.

Projek naik taraf SMK Lundu telah bermula pada disember 2022 dengan kos RM24 juta.

Penggunaan teknologi sistem binaan berindustri atau IBS telah digunakan dalam skop pembinaan projek terbabit.

Manakala pembinaan bangunan tambahan SMK Padawan yang menelan kos RM12.2 juta telah mula dilaksanakan pada 17 Mac pada tahun sama dan siap sepenuhnya pada Oktober lepas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE