fb fb fb fb fb

Sultan Perak kurnia pingat kepada 153 penerima

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran (RTM) negeri Perak, Nor Ain Abu Bakar / FOTO BERNAMA

KUALA KANGSAR, 16 November- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-68 baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pagi tadi.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berkenan berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid serta barisan exco kerajaan negeri.

Pada istiadat tersebut, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 153 penerima.

Daripada jumlah tersebut, 14 individu merupakan penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 41 individu bagi Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) dan 59 penerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT).

29 individu pula menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) termasuk Penerbit Rancangan RTM Perak, Nor Ain Abu Bakar; wartawan Astro Awani Perak, Abd Razak Mohd Ali; atlet boling padang, Aleena Ahmad Nawawi; atlet sepak takraw, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan atlet Muay Thai Nur Amisha Azril Rizal.

Dalam pada itu, seramai 10 individu turut menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE