ALOR GAJAH, 16 November- RM1.006 bilion diperuntukan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi melaksanakan pembinaan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Melaka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia melibatkan semua tiga daerah di negeri itu.
Antaranya, projek RTB Alor Gajah Fasa 1 di Kampung Tebat, melibatkan peruntukan sebanyak RM30 juta.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata projek berkenaan membabitkan beberapa skop seperti membina kolam takungan banjir dan saliran air bagi memudahkan aliran air ke sungai.
“Kalau siap projek ini insya-Allah targetnya untuk kita lindungi 1,270 penduduk di kawasan ini daripada banjir berdasarkan kajian yang kita buat. Jadi alhamdulillah setakat ini projek berjalan lancar dan kita harapkan projek ini dapat disiapkan kalau tidak ikut jadual, awal daripada jadual,” katanya kepada pemberita ketika meninjau projek RTB tersebut bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Projek berkenaan bermula pada 16 Ogos 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2025.
Enam lagi projek melibatkan RTB Sungai Melaka Fasa 1 di Durian Tunggal membabitkan kos RM40 juta; Projek Menaiktaraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai Kolam Dwifungsi untuk Tebatan Banjir dan Sumber Air Melaka (RM603 juta) dan RTB Sungai Duyong (RM163.8 juta).
Selain, RTB Bandar Merlimau (RM36 juta); RTB Bandar Jasin (RM60 juta) dan RTB Sungai Putat (RM72.83 juta).