Suspek tembak komander AKPS, ditahan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Februari– Suspek yang melepaskan tembakan terhadap kenderaan komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, telah ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek yang melepaskan tembakan terhadap kenderaan komander AKPS telah ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.
  • Komander AKPS selamat dan hanya kenderaan menjadi sasaran tembakan.
  • Kementerian menegaskan keselamatan anggota sempadan kekal keutamaan dan usaha berterusan dijalankan.

Ketika ini proses soal siasat sedang dilakukan.

Perkembangan mengenainya dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita bersyukur kerana komander AKPS itu selamat ketika keluar awal pagi nak solat subuh.

“Tembakan hanya kena pada kenderaannya. Tapi kita sudah buat tangkapan tak sampai 24 jam,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang ingin penjelasan mengenai isu keselamatan pegawai kerajaan di sempadan sebagaimana kes tembakan terhadap kenderaan seorang komander AKPS di Bukit Kayu Hitam.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Saifuddin menegaskan keselamatan anggota yang bertugas di sempadan kekal menjadi keutamaan kerajaan.

Segala usaha akan dilakukan bagi memastikan agensi bertanggungjawab di pintu sempadan yang berdepan dengan pelbagai ancaman.

Terdahulu, media melaporkan kereta Proton X70 dipandu SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak pada 5.40 pagi, semalam di susur masuk Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia–Thailand.

Dua suspek menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata semi automatik ke arah kenderaan mangsa.