fb fb fb fb fb

Tiada kompromi terhadap penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran - Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA, 13 Julai- Tindakan tegas akan diambil dan dikenakan terhadap pengilang pembungkusan minyak masak bersubsidi yang didapati menyeludup bekalan ke negara jiran.

Tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ia termasuk menggantung atau menarik balik lesen operasi jika ia didapati bersalah.

“Kalau dari hasil siasatan KPDNHEP kita ada bukti, maka pengilang boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Pemantauan sentiasa dijalankan sebab itu SOP (prosedur operasi standard) kementerian (KPDNHEP) untuk bendung ketirisan bekalan (barang kawalan dan bersubsidi) dan penyeludupan."

Beliau berkata demikian pada sidang media program "Walkabout Pemeriksaan dan Pemantauan Harga Barang" di Putrajaya.

Tambah beliau, mereka yang didapati bersalah boleh disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Terdahulu Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa, mendedahkan berkemungkinan ketirisan minyak masak bersubsidi ke negera jiran didalangi pihak tertentu.

Sementara itu, tatacara jualan dalam talian khususnya membabitkan barang kawalan dan bersubsidi akan diperketat bagi mengekang ketirisan serta penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Kini, KPDNHEP sedang meneliti beberapa langkah mengetatkan tatacara berkenaan.

Sebanyak 38 iklan penjualan minyak masak paket dan botol yang dipaparkan di dua platform dalam talian terkenal telah diarah diturunkan. 

 


(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada
program Walkabout Pemeriksaan dan Pemantauan Harga Barang di Putrajaya)

Media Baharu