fb fb fb fb fb

Kulim Smart Parking mula beroperasi September tahun ini

ALOR SETAR, 13 Julai - Majlis Perbandaran Kulim, MPKK menjadi Pihak Berkuasa Tempatan, PBT pertama di Kedah melaksanakan Sistem Tempat Letak Kereta (TLK) Pintar dikenali sebagai Inisiatif Kulim Smart Parking.

Ia merupakan hasil kolaborasi antara MPKK dengan syarikat HeiTech Padu Berhad.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata inisiatif ini dicetuskan untuk memberi nafas baru kepada pengurusan tempat letak kereta di bandar Kulim dan diusahakan secara kerjasama strategik awam swasta bersama HeiTech Padu Berhad berasaskan Private Funding Initiative (PFI).


(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi)

Sistem pintar ini yang dijangka mula beroperasi menjelang September ini akan menggunakan aplikasi telefon pintar untuk transaksi berkaitan tempak letak kereta (TLK), termasuk pembayaran TLK dan kompaun, navigasi ke TLK dan pelbagai fungsi yang akan menjadi transformasi kepada proses sedia ada.

Transformasi ini akan menjimatkan masa pengguna dan juga akan membudayakan ‘cashless society’ melalui penggunaan e-wallet.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan langkah yang diambil oleh MPKK dan HeiTech Padu dalam inisiatif yang sangat baik ini. Apabila kita dilanda COVID-19 orang mahu tidak mahu mula beralih kepada aplikasi atas talian sebagai satu norma baharu untuk kita bergerak ke depan. Saya harap PBT lain mengambil inisiatif yang sama untuk melaksanakan sistem parkir pintar di kawasan PBT masing-masing," kata Sanusi selepas melancarkan Inisiatif Kulim Smart Parking di Wisma Darul Aman, di sini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah, Dr Noradzman Mustaffa berkata, pelaksanaan Inisiatif Kulim Smart Parking dijangka akan meningkatkan hasil pendapatan kepada PBT tersebut.

"Anggaran kita kalau kita menggunakan sistem smart parking ini mungkin akan ada penambahan lebih RM1 juta  pendapatan. Ini berdasarkan juga kepada penjimatan kos. kita boleh kurangkan orang yang buat penguatkuasaan dan sebagainya. Kita kurangkan kos cetak kupon dan sebagainya. Kita jangka lebih kurang 1 juta. Dia akan meningkat, mungkin dalam tahun depan, tahun lagi sekali itu dia akan ada pertambahan," kata Noradzman.

Sesuai dengan identiti Kulim sebagai Bandar Berteknologi Tinggi, Kulim Smart Parking berhasrat untuk menjadi katalis kepada transformasi digital Kulim.

Pengoperasian kira-kira 7 ribu T-L-K Bandar Kulim untuk 7 tahun akan direncana dan diurus sebaik mungkin untuk keberhasilan urus tadbir dan penyampaian perkhidmatan untuk warga Kulim.

Media Baharu