fb fb fb fb fb

Tiada kompromi perlakuan hina agama, provokasi permusuhan - Marzuk

(FOTO HIASAN)

KUALA KUBU BHARU, 19 Julai - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan atau tindakan menghina agama di media sosial yang mampu mencetus provokasi serta permusuhan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwah Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata media sosial bukan medan untuk melepaskan segala perkara sehingga bertindak di luar batasan.

Katanya, sebarang perbuatan menghina agama akan dikenakan tindakan tegas sekali gus dihadapkan ke muka pengadilan dan menjadi pengajaran kepada masyarakat.

(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwah Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary)

''Saya hendak beri peringatan kepada mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi melalui perbuatan, perkataan, siaran media sosial ini, dia tidak akan terlepas daripada undang-undang.

"Kita akan cari sampai dapat dan kita akan pastikan mereka akan diheret dan didakwa di muka pengadilan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Ihtifal Huffaz Peringkat Kebangsaan Ke-8 di Darul Quran JAKIM, di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk turut mengingatkan semua pengguna media sosial untuk lebih peka terhadap kandungan video sebelum ianya dikongsikan sehingga menjadi tular.

Jelasnya, mempermainkan soal hukum dan agama merupakan satu kesalahan dalam Enakmen Agama Islam Negeri.

Media Baharu