GUA MUSANG, 26 Mei-Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) tidak menerima laporan kes kelesuan haba dan strok haba dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman susulan cuaca panas yang melanda negeri Kelantan.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, setakat ini sebanyak enam kes direkodkan berkaitan masalah kesihatan yang berpunca daripada cuaca panas hanya di kawasan bandar.
Menurutnya lagi ,jumlah itu juga melibatkan satu kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang disahkan akibat terkena strok haba di Bachok baru-baru ini.
"Setakat ini kita tidak ada laporan berkenaan 'heat exhaustion' atau 'heat stroke' (strok haba) di kalangan Orang Asli.
"Kebanyakan laporan melibatkan penduduk yang berada di bandar", katanya yang ditemui selepas majlis pelepasan konvoi Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) ke perkampungan Orang Asli Pos Balar di Gua Musang.
Seramai 100 peserta daripada 17 agensi di negeri ini akan berkampung selama tiga hari di Pos Balar untuk mengadakan aktiviti kesihatan di kawasan berkenaan.
Antara agensi terlibat ialah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Jabatan Pendidikan Kelantan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

(Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin)