fb fb fb fb fb

Tiada kes malaria manusia jangkitan tempatan, sejak 4 tahun lepas

IPOH, 17 Julai - Tiada sebarang kes malaria manusia jangkitan tempatan dilaporkan di Malaysia sehingga kini sejak tahun 2018. 

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata hanya kes malaria zoonotik dan kes import yang direkodkan ketika ini. 

Bagaimanapun pada tahun 2021 Malaysia melaporkan 111 kes import malaria manusia yang mendapat jangkitan di luar negara dan berpotensi disebarkan kepada penduduk tempatan.

"Dan kita telah mencapai kejayaan sifar malaria manusia tempatan pada 2018, empat tahun berturut-turut. Jadi itulah yang kita mahu ingatkan yang dulu kita sudah laksana program iradikasi Malaysia pada 1961 dan diikuti program kawalan malaria dan pada 2011, kita telah tubuhkan Pelan Strategik Eliminasi Malaria Kebangsaan atau di sebut PSEMK," kata Dr Noor Azmi di sini.

(Dr Noor Azmi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan
Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru)

Pada masa sama beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak leka dengan keadaan sekeliling terutama kesihatan diri meskipun Malaysia mencatatkan sifar kes malaria.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Azmi menyarankan pemain industri dalam sektor perladangan, perlombongan dan pembinaan yang menggunakan tenaga pekerja asing supaya sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk saringan malaria terhadap golongan tersebut.

Beliau berkata ini kerana golongan itu antara yang terdedah dan berisiko dijangkiti malaria berdasarkan penelitian serta kajian yang dilakukan oleh pihak berkaitan.

"Pekerja asing seharusnya melalui pemeriksaan kesihatan termasuk saringan malaria mengikut polisi yang ditetapkan kerajaan. Pihak majikan juga bertanggungjawab membekalkan kelambu berubat bagi melindungi mereka daripada gigitan nyamuk. Bagi pekerja yang mengalami gejala malaria, perlu menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran," katanya.

Mengenai sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022, beliau berkata bertujuan memberi kesedaran dan menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa malaria merupakan masalah kesihatan awam yang perlu diberikan perhatian secara serius.

Media Baharu