fb fb fb fb fb

Pahang hargai peruntukan kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2026

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/ foto Facebook

KUANTAN, 10 Oktober - Pahang menghargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang terus memberi tumpuan kepada projek pembangunan rakyat di negeri itu menerusi Belanjawan 2026.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek-projek yang disalurkan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan rakyat dari segenap aspek.

Dalam pembentangan di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 15 projek dan inisiatif penting khusus untuk Pahang.

Ini termasuk naik taraf Lebuh Raya Kuantan–Segamat di Rompin, pembinaan jambatan konkrit di Jalan Serengkam ke Jalan Kuala Wau, Maran serta pembangunan kawasan Kampung Bongsu di Temerloh.

Turut diumumkan, pembinaan klinik kesihatan lengkap dengan kuarters di Pos Lenjang, Lipis; naik taraf Jalan Sungai Lembing di Kuantan dan pembinaan sekolah baharu Sekolah Kebangsaan Desa Damai di Bentong serta pembaikan jalan kampung di kawasan pedalaman Orang Asli.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri akan memastikan semua peruntukan dan projek dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, telus dan berkesan, supaya manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat Pahang.

EMMI NORALIZA ADNAN