KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan yang RM110 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 sebagai insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi.
- Peruntukan RM110 juta dalam Belanjawan 2026 untuk insentif penghasilan karya berkualiti oleh penerbit tempatan dan antarabangsa.
- RM10 juta khusus disediakan untuk penerbitan kandungan kenegaraan bagi memperkukuh naratif nasional.
- RM10 juta insentif penganjuran konsert menarik pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
- RM20 juta untuk menyokong Ekosistem Kreatif Digital termasuk animasi, permainan digital dan kelonggaran perolehan kementerian.
Beliau berkata, peruntukan itu termasuk RM10 juta khusus kepada penerbitan kandungan kenegaraan.
“Kerajaan MADANI mendukung penghasilan karya kreatif dalam memperkukuh ekosistem ekonomi jingga.
“RM10 juta ringgit insentif penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa di Malaysia bagi menarik pelancong asing bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” jelas beliau pada pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Tambah Datuk Seri Anwar, kerajaan menyediakan RM20 juta untuk menyokong Ekosistem Kreatif Digital khususnya penggiat kreatif animasi dan permainan digital tempatan.
“Bagi menggalakkan usaha penggiat kreatif animasi tempatan, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran perolehan kepada semua kementerian dan jabatan untuk memperoleh produk merchandise dan kandungan digital,” katanya.