fb fb fb fb fb

ATM pastikan perbelanjaan berhemat, fokus kebajikan anggota

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memastikan peruntukan yang diterima dalam Belanjawan 2026 dibelanjakan secara berhemat dengan menumpukan kepada usaha untuk mendukung Angkatan Masa Hadapan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menerusi kenyataan memaklumkan, peruntukan itu akan digunakan bagi memperkukuh keupayaan tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

"Selain itu, kebajikan anggota turut menjadi keutamaan bagi memastikan moral dan kelestarian warga pertahanan terus terpelihara," menurut kenyataan itu.

"ATM turut komited memastikan segala inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2026 mencapai sasaran kerajaan. Sekaligus, mengukuhkan keselamatan sempadan negara, meningkatkan hubungan pertahanan antarabangsa dan menjamin kedaulatan Malaysia," menurut kenyataan itu lagi. 

Kementerian Pertahanan dan ATM menerima peruntukan RM21.74 bilion, meningkat kira-kira 2.9% bagi 2026 berbanding RM21.13 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, RM14.11 bilion adalah bagi peruntukan mengurus, manakala RM7.63 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Kenyataan itu turut menyebut, seluruh warga ATM menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman Belanjawan 2026 dan menyambut baik Belanjawan MADANI berkenaan.

EMMI NORALIZA ADNAN