KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas pengumuman Belanjawan 2026 yang disifatkan mampu memberi kesan positif terhadap aspek kebajikan warganya, pembangunan prasarana serta peningkatan kecekapan perkhidmatan pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan tersebut akan memperkukuh lagi keupayaan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
"PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas keprihatinan serta komitmen berterusan yang dizahirkan melalui pengumuman Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Belanjawan bukan sekadar dokumen fiskal, tetapi manifestasi kepada iltizam kerajaan dalam memperkukuh dan keselamatan negara dan memperkasa kebajikan warga pasukan keselamatan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan sebanyak RM21.2 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara meliputi beberapa ikhtiar utama.
Ia termasuk peruntukan RM1 bilion bagi menyelenggara dan pembelian aset PDRM dan badan beruniform di bawah KDN, termasuk 100 buah pacuan empat roda untuk risikan dan operasi PDRM serta empat bot ronda 'Fast Patrol Vessel' pasukan Polis Marin.
Selain itu, projek pembinaan dan naik taraf fasiliti baharu badan beruniform dengan kos lebih RM1.5 bilion.
Datuk Seri Mohd Khalid berkata peruntukan tersebut mencerminkan tekad padu kepimpinan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah watan yang stabil, sejahtera dan berdaya saing.
Sebagai institusi penguatkuasaan utama negara, PDRM menegaskan komitmen untuk melaksanakan setiap inisiatif yang diterima dengan penuh amanah, integriti dan disiplin kewangan yang tinggi.
"Setiap sen peruntukan akan dimanfaatkan secara optimum demi memperkukuh keselamatan nasional serta menjamin keselamatan kesejahteraan umum.
"PDRM kekal teguh mendukung dasar-dasar kerajaan dalam kerangka ekonomi MADANI berteraskan nilai profesionalisme, integriti dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Katanya, PDRM akan terus mengangkat martabat perkhidmatan kepolisan agar selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara aman, makmur dan dihormati di pentas antarabangsa.