KOTA BHARU, 10 Oktober - Rakyat di negeri Kelantan menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan meneruskan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026.
Langkah itu disifatkan sebagai kesinambungan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, menjelang musim perayaan dan bulan Ramadan tahun hadapan.
Bagi golongan belia, bantuan berkenaan memberi kelegaan dan semangat baharu untuk mengurus perbelanjaan dengan lebih teratur.
Malah pengumuman itu menunjukkan kerajaan tidak pernah melupakan golongan muda yang turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Bantuan tersebut juga dianggap bukti Kerajaan MADANI menunaikan janji untuk memastikan tiada golongan yang tercicir, selain membantu memperkukuh ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
"Alhamdulillah rasa lega sangat bila kerajaan mengumumkan untuk meneruskan lagi SARA dan STR dalam keadaan ekonomi dan harga barang semakin meningkat, ia sangat membantu kami dari segi keperluan diri dan bagi yang berkeluarga, ia sangat membantu.
"SARA dan STR bukan sahaja memberi kesan kepada kami sebagai pengguna, malah memberi kesan positif kepada peniaga kecil," kata pekerja swasta, Nur Amyra Alia Aswadi.
"Pemberian SARA RM100 yang diumumkan kerajaan untuk kali kedua, saya rasa berbaloi dengan apa kerajaan umum itu, untuk keperluan harian, membeli barangan dapur dan saya berterima kasih kepada kerajaan dengan sumbangan yang diberi," jelas Mohd Firdaus Shamsudin, pekerja swasta.
"Bantuan SARA yang akan disalurkan dapat membantu banyak pihak terutama kami untuk menghadapi bulan puasa dan menyambut Hari Raya nanti, " kata Badrul Ainnur Amin yang bekerja sendiri.
"Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah mengumumkan dan menyalurkan sumbangan SARA sebanyak RM100, sedikit sebanyak dapat membantu membuat persediaan pada bulan Ramadan," jelas Darwish juga bekerja sendiri.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Mohd Safwan Ghazali berkata pemberian STR dan SARA sebagai pemangkin kitaran ekonomi luar bandar apabila penerima berbelanja di kedai runcit dan pasar tempatan.
Katanya, bantuan tunai terus kepada rakyat bukan saja meringankan beban isi rumah, tetapi turut menggerakkan ekonomi setempat.
"Pelaksanaan SARA dan STR ini dapat mengurangkan sedikit beban dan kos sara hidup kerana ia terus diberikan kepada rakyat dan mereka dapat terus membeli keperluan bukan sahaja SARA dan STR, penyasaran subsidi seperti BUDI95 juga saya rasa akan membantu kewangan rakyat Malaysia bagi tahun-tahun yang kita jangka ekonomi akan makin mencabar.
"Jadi Belanjawan 2026 ini merangkumkan semua perkara, elemen-elemen tersebut dalam memastikan ianya dapat mengurangkan beban atau kos sara hidup rakyat menjelang 2026 tanpa meminggirkan rakyat, kita nak menuju ke negara 'top 30 country' dari segi ekonominya, memperkukuhkan ekonomi tanpa meminggirkan rakyat," kata Mohd Safwan.
Belanjawan 2026 memperuntukkan kesinambungan STR dan SARA yang dijangka memanfaatkan hampir 9 juta penerima di seluruh negara, dengan pelaksanaan SARA bermula Februari 2026 bagi membantu rakyat membuat persediaan menjelang bulan Ramadan dan Tahun Baharu Cina.