fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: 5,800 anak keluarga miskin nikmati pendidikan percuma PTPTN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Sebanyak 5,800 anak keluarga miskin akan menikmati pendidikan percuma melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai tahun 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi tujuan tersebut sebanyak RM120 juta setahun diperuntukkan di bawah Belanjawan 2026.

“PTPTN lahir dari iltizam mengeluarkan anak bangsa dari kancah kemiskinan melalui pendidikan.

"Sejak penubuhan, PTPTN telah membuka jalan kepada jutaan mahasiswa menjejak kaki ke menara ilmu dan mengubah nasib keluarga,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju mengecualikan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA daripada keluarga berpendapatan rendah dan menengah.

"Langkah ini akan memanfaatkan kira-kira 6,000 peminjam dengan peruntukan tambahan sebanyak RM90 juta setahun," katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan peminjam yang culas membuat bayaran semula pinjaman PTPTN akan disekat perjalanan keluar negara, termasuk mereka yang bekerja di luar negara.

Belanjawan 2026 memperuntukkan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh sistem pengajian tinggi negara.

BERITA BERKAITAN

 

 

GRACE AISYAH KEDAYAN