KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Program Dapur MADANI dengan peruntukan RM26 juta diperkenalkan bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara melalui penyediaan peralatan memasak dan bahan mentah di kampus.
- Peruntukan RM26 juta untuk Program Dapur MADANI bagi memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara melalui makanan dan peralatan memasak.
- Program diperluas dengan kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) sektor swasta untuk sokongan jangka panjang.
- Dapur MADANI disasarkan membantu mahasiswa susah melalui penyediaan bantuan makanan di kampus.
- Perkenalan Program MySiswa Job On Campus (RM20 juta) memberi peluang pendapatan dan latihan kemahiran keusahawanan kepada mahasiswa.
- Projek rintis KWSP–UM untuk membina 1,000 unit residensi menangani krisis penginapan pelajar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu juga akan diperluas melalui kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) sektor swasta.
“Dapur MADANI juga dilaksanakan untuk mengusahakan bantuan makanan kepada mahasiswa susah,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan Program MySiswa Job On Campus dengan peruntukan RM20 juta.
“Ini membantu mahasiswa serba kekurangan mendapat pendapatan dan melatih kemahiran keusahawanan yang boleh dimanfaat selepas bergraduasi,” katanya.
Dalam pada itu, bagi mengatasi krisis penginapan universiti, kerajaan akan memulakan projek rintis kerjasama antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Universiti Malaya (UM) untuk membina 1,000 unit residensi mahasiswa.
Belanjawan 2026 memperuntukkan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh sistem pengajian tinggi negara.