fb fb fb fb fb

Pemilihan Presiden Sri Lanka, rakyat Malaysia ditegah sertai sebarang perhimpunan

KUANTAN, 17 Julai- Rakyat Malaysia yang berada di Sri Lanka diingatkan agar tidak menyertai atau mendekati sebarang perhimpunan menjelang pemilihan Presiden baharu negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata meski keadaan di Sri Lanka sudah kembali tenang, namun warganegara Malaysia masih perlu berhati-hati dan menjaga keselamatan masing-masing.

"Kita terus berjaga-jaga dan mengingatkan rakyat Malaysia di Sri Lanka menjaga keselamatan masing-masing, tidak menyertai tidak mendekati apa-apa perhimpunan protes sokongan dan sebagainya," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Taekwondo MGTF Bagi Sekolah Dan Kelab Negeri Pahang 2022 di sini, hari ini.

(Saifuddin Abdullah)

Tambah beliau, rakyat Malaysia juga diminta untuk tidak percaya sebarang khabar angin dan sentiasa berhubung wakil kedutaan di sana.

Setakat ini, 126 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Sebilangan daripada mereka telah pulang ke tanah air secara sukarela.

Media Baharu