KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Malaysia bertekad muncul sebagai jaguh ekonomi rentas sempadan dengan memanfaatkan kedudukan strategik negara melalui pembangunan wilayah sempadan dan infrastruktur serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, berkata ia bagi membuka pasaran baharu serta menghubungkan ekonomi rantau ini.
Ujarnya antara tumpuan utama ialah pembangunan ASEAN Power Grid bagi memperkukuh perdagangan tenaga serantau melalui kerjasama TNB dan PETRONAS dengan rakan ASEAN bagi mempercepat Projek Vietnam–Malaysia–Singapura, yang bakal menyalurkan tenaga boleh baharu dari Selatan Vietnam ke Malaysia dan Singapura.
Selain itu, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) turut menjadi pemacu utama pelaburan dengan nilai diluluskan RM37.1 bilion bagi separuh pertama 2025, merangkumi 66 peratus daripada pelaburan Johor, selain komitmen tambahan RM29 bilion.
Usaha ini turut disokong oleh penubuhan Iskandar Malaysia Facilitation Centre dan Johor Talent Development Council bagi mempercepat pelaburan serta melahirkan tenaga mahir tempatan.
Sementara di utara tanah air, kerajaan memperkukuh pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam (Delapan) dengan pelaburan sebanyak RM2.7 bilion.
Ini termasuk pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti jalan baharu Kalabakan–Simanggaris, naik taraf landasan Pasir Mas–Rantau Panjang, serta Projek RTS Link yang dijangka beroperasi 1 Januari 2027 yang mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam setiap hala pada waktu puncak.