fb fb fb fb fb

BELANJAWAN 2026: LRT3, ETS siap akhir 2025

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Ketersambungan rel negara diperkukuh melalui pelaksanaan dan penyiapan projek berimpak tinggi yang memendekkan masa perjalanan, meningkatkan kapasiti penumpang serta memperkukuh ekonomi wilayah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara projek utama yang sedang giat dilaksanakan termasuk perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) yang mula beroperasi ke Stesen Kluang pada Ogos lalu, manakala fasa terakhir ke Johor Bahru Sentral dijangka siap akhir 2025.

Selain itu, LRT3 dijangka mula beroperasi akhir 2025, menghubungkan Bandar Utama, Damansara hingga Johan Setia, Klang, dengan kemampuan membawa lebih 6,200 penumpang setiap jam bagi setiap arah, kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi memperkukuh rangkaian rel antara Pantai Timur dan Lembah Klang, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak dijangka siap akhir 2026, sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara Kelantan dan Lembah Klang kepada hanya empat jam.

Sementara itu, naik taraf Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) dijangka siap sepenuhnya pada 2029, menghubungkan Bandar Tasik Selatan ke Seremban serta Simpang Pelabuhan Klang ke Port Klang dengan kos pembinaan RM4.1 bilion.

Bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan bandar, Prasarana Malaysia Berhad akan menggantikan 26 unit tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya dengan kos RM1 bilion.

Selain itu, pelaksanaan LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang turut dimulakan, dijangka memberi manfaat kepada 1.8 juta penduduk serta 3.5 juta pengunjung luar setiap tahun, sekali gus melonjakkan sektor pengangkutan awam di utara tanah air.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN