BELURAN, 17 Julai- Kementerian Pendidikan (KPM) serius melaksanakan proses “pemutihan” atau memindah milik tanah sekolah daripada kerajaan negeri kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata langkah itu bagi memudahkan perancangan masa depan infrastruktur sekolah terlibat.
"Tapak sekolah kita ini masih belum dimiliki oleh JKPTG, urusan-urusan pembinaan bangunan baharu untuk menggantikan bangunan daif khususnya tidak dapat dilaksanakan.
"Untuk memastikan pemutihan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin dan kita telah berbincang sendiri dengan kerajaan negeri termasuk kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk membantu kita dalam urusan pemutihan ini supaya kita dapat putihkan tanah di semua sekolah KPM," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
(Dr Radzi Jidin)
Dalam perkembangan lain, Radzi memaklumkan, peratusan kemasukan pelajar dalam kalangan keluarga B40 ke sekolah berasrama penuh menunjukkan peningkatan 65% tahun ini.
"Bayangkan dalam satu keluarga yang susah sekiranya kita boleh membawa seorang anak itu ke asrama, diberi tempat tinggal yang baik, makanan yang baik, betapa kita dapat meringan beban ibu bapa mereka.
"Pada masa yang sama kita dapat gilap anak ini, satu hari nanti dapat membawa keluarga mereka keluar dari kemiskinan," katanya.