fb fb fb fb fb

RM3.3 bilion untuk projek prasarana asas desa - PM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Sejumlah RM3.3 bilion diperuntukkan bagi projek prasarana asas desa, tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat memaklumkan, daripada jumlah itu, RM2.5 bilion disediakan bagi membina dan membaiki jalan kampung dan jalan perhubungan desa.

"Antaranya, Pos Lenjang ke Koa Jernang Pos Titom, Lipis, Pahang; Jalan Mangkapon, Pitas, Sabah; Kampung Pong, Pengkalan Hulu, Hulu Perak; dan Kampung Tok Adis ke Kampung Banggol, Terengganu, " katanya.

Lebih RM700 juta pula disediakan untuk membekalkan air bersih dan elektrik termasuk pemasangan panel solar hibrid di kampung kecil di Sabah dan Sarawak bagi manfaat 3,200 rumah.

Sementara itu, hampir RM90 juta diperuntukkan bagi projek pembinaan jambatan serta lampu jalan kampung termasuk memasang lampu cekap tenaga dan solar.

Tumpuan khusus turut diberikan kepada usaha melengkapi infrastruktur asas termasuk jalan dan kemudahan klinik di Pulau Banggi, Kudat, Sabah.

EMMI NORALIZA ADNAN