KUCHING, 10 Oktober - Intervensi awal terhadap bayi yang dilahirkan dengan sumbing bibir atau lelangit amat penting kerana mampu membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.
Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Veronica Lugah berkata, bayi yang mengalami sumbing berdepan pelbagai cabaran termasuk kesukaran untuk makan, bercakap, serta masalah pergigian dan keyakinan diri.
"Intervensi awal boleh dilakukan melalui pembedahan bagi menutup kecacatan pada bibir atau lelangit mulut pesakit," katanya semasa merasmikan Bulan Kesedaran Sumbing Sarawak di Kuching, pagi tadi.
Dalam pada itu, Dr. Veronica turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Umum Sarawak serta pasukan perubatan pelbagai disiplin atas usaha berterusan mereka dalam memberikan rawatan dan sokongan kepada pesakit sumbing.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Dr. Sim Kui Hian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier, Kho Teck Wan berkata, penganjuran Bulan Kesedaran Sumbing bertujuan mendidik keluarga, memperkasa komuniti serta mengurangkan stigma terhadap individu dengan keadaan tersebut.
Bulan Kesedaran Sumbing disambut di seluruh negara setiap tahun pada bulan Oktober.